Jumaat, 12 Mac 2010

POSTER KEPENGGUNAAN - 2008




POSTER main-main.
IDEA main-main.
LAST MINUTE bukan main.

POSTER ini dibuat
untuk mencukupkan
bilangan.

AKU nak hantar
kepada pihak penganjur
tiga keping.

Ini yang ketiga.

Alhamdulillah...

...INILAH HASILNYYA...



REJECT SHOP 1

Mengenai kehandalan dreba bas ekspress melesit dilebuhraya....

Khamis, 11 Mac 2010

Pesta Lagu Malaysia ke 6 - RTM




KHABAR DARI SINI

Ibuku sayang
apakah khabarmu
doa dari anakmu
agar engkau
bahagia selalu
restumu kuharapkan
agar hidupku terus aman...

Oh ibu kiniku berjuang
ditengah arus yang kencang
oh ayah apa nak kukata
mereka tak pernah setia

Hilang jujur kata
sikap mulia bahasa
kini jadi buruan
harta dunia
dan kebendaan
sifat budi mulia
kini hilang terus dilupa...

Disini aku
bersama puisiku
menceritakan tentang
arus hidup metropolitan
nilai kemanusiaan
lenyap sudah ditelan intan...

Penyanyi: Julie Sudiro
Iringan: Kombo RTM


-----------------------------------------------------------------------------------

Nostalgia disebalik lagu ini


1986. Kira-kira 24 tahun yang lalu. (Peh! lamo bebeno) aku baru setahun lebih menyertai Amir Enterprise. Syarikat kepunyaan Allahyarham Pak Harun Hassan  diwaktu ini baru berpindah ke Jalan Genting Kelang, Setapak dari Damansara Utama.

Syarikat ini menceburi bidang penerbitan seratus peratus. Yakni dari beratus judul novel, buku masakan, agama, majalah hinggalah ke akhbar mingguan dan harian. Melalui anak syarikatnya juga, beberapa judul filem popular turut dihasilkan.

Aku ditempatkan di Majalah Kisah Cinta yang dipimpin oleh Kak Webah bersama segerombolan sidang redaksi. Off course aku yang paling junior.

Semasa di syarikat ini, minat aku dalam bidang penciptaan lagu semakin mendalam. Idea mencurah-curah, melimpah-limpah... tak kiralah idea gred B,C atau A-.

Walaupun kawan-kawan yang berada disekeliling berbeza minat, namun hobi yang satu ini tetap diteruskan samada karyaku di'bakulsampah'kan atau di'lori ikan'kan.

Okay... itu baru latar belakang ringkas.

Suatu hari ketika sedang ralit membuat layout majalah, tiba-tiba Don seorang pemandu syarikat yang kebetulan berada disitu memanggil.

"Man... telefon".

"Assalamualaikum. Encik Osman."

Kedengaran suara lelaki yang agak asing ditelefon.
Selepas salam berjawab, sipemanggil memperkenalkan dirinya.

"Saya Harun Hanafiah,  dari Unit Hiburan Radio. 
Encik ada masuk pertandingan Pesta Lagu Malaysia hari tu kan?"

"Ya" jawabku pendek dan dengan sedikit debaran dihati.

"Tahniah! lagu encik berjaya ke peringkat separuh akhir."

Ayat terakhir dari penerbit rancangan itu membuatkan aku hampir nak melompat. 
Tapi mengenangkan ramai abang dan kakak senior termasuk anak boss yang turut berada disitu, jadi kontrol excited sikit. 

Sebagai tanda syukur, aku yang kebetulan ada sedikit 'fulus', membasahkan tekak mereka dengan membelanja mereka minum. Mereka pun terpinga-pinga sebab musabab 'kenduri kecil' yang aku buat itu dan aku pun tak cerita. Baru semi-final. 
Kalau final baru bulih bikin 'hingaq' sikit.

Antara yang diberitahu oleh penerbit berkenaan sewaktu panggilan tadi ialah lagu aku tersenarai dalam 32 lagu yang layak keperingkat separuh akhir dari sejumlah hampir 483 lagu yang mereka terima.

Dan menurut  beliau lagi, dari 32 lagu ini hanya 10 yang terbaik akan keperingkat akhir.

Kesemua 32 lagu tersebut akan disiarkan diradio dalam empat rancangan iaitu lapan lagu setiap rancangan yang akan keudara selama empat minggu.

Menanti hari lagu aku yang dijadualkan disiarkan pada minggu ketiga terasa amat lama.
Bukan apa, cuma aku hendak tahu macam mana bunyinya bila sudah digubah, siapa yang akan menyanyikannya dan berbagai lagi yang bermain difikiran. Almaklumlah ini suatu yang baru dalam hidupku.

Aku bercadang untuk merekodkan setiap lagu yang tersiar di keempat-empat rancangan ini walaupun ada masalah untuk mencari kaset kosong. Hendak beli lagi masalah. Faktor fulus altak lulus. Gaji kocik. RM450 sebulan. Tolak 'gedeban' @ advance yang diambik tengah bulan, tinggal le cipott.

Akal mesti panjang. Aku cari balik kaset-kaset lama yang didalam simpanan. Tanya kengkawan wartawan hiburan yang ingin menderma kaset yang dah sezen dan akhir dapatlah jugak stok untuk rakaman nanti.

Kaset-kaset ini aku 'erase' isinya biar betul-betul kosong.

Dengan menggunakan kaset player yang entah sapa tuannya tu, akhirnya kesemua 
32 lagu-lagu tersebut dapat aku rakamkan walaupun tidak sepenuhnya yakni cuma separuh lagu sahaja.

Hingga kehari ini, selepas 24 tahun lagu-lagu dalam kaset itu masih berkeadaan baik.

Bangga jugak aku bila mendengar lagu sendiri keudara diradio. 
Senyum sorang-sorang juga dua tiga minggu.

Bila keputusan lagu-lagu yang layak keperingkat akhir diumumkan diakhir rancangan siaran minggu keempat, dua tiga hari jugak mood nak bekerja hilang. No rezeki, cuba lagi.

Final pertandingan ini aku menontonnya dikaca tv dikampung... bercuti daa. 

Pemenangnya Mathias Francisco Harry Gomez dari PJ. Lagu beliau berjudul 'Cinta hatiku' disampaikan oleh Liza Aziz. Memang bagus lagu itu.

Walaupun gagal keakhir, aku berbangga jugak sebab dapat sebaris dengan beberapa komposer baru dan lama yang turut menyertai pertandingan ini. Antaranya Dato' Mokhzani Ismail, Pengarah Muzik RTM sekarang, Ramlan Harun, Abbas Bakar dan ramai lagi. 

Aku amat berterima kasih pada abang angkatku, Encik Din Osman yang banyak membantu mengajar dan memberi nasihat secara ringkas mengenai penciptaan lagu.

Walaupun sering kesuntukkan masa, beliau tidak pernah lokek menjawab setiap kemusykilan dan sering membantu bila diperlukan.

Pengalaman beliau dalam bidang penyiaran dan muzik amat aku kagumi, namun tanggungjawab yang berbeza membuatkan aku tidak banyak dapat menimba ilmu dengan beliau.

.....det sol.....


Keratan Akhbar Utusan Malaysia
bertarikh 5 november, 1986
mengenai pertandingan tersebut.


 

Rabu, 10 Mac 2010

antara SEDEKAH dan SEDIH KAH...

BABAK 1

SEORANG lelaki pergi  kepasar malam berhampiran rumahnya untuk membeli barangan keperluan harian dan juadah untuk makan malam bersama anak perempuannya yang berusia sembilan tahun.

Di Pasar Malam, mereka  mula melakukan tawaf  sambil mata melilau mencari apa yang hendak dibeli. 

Dalam proses mencari dan membeli mereka ternampak wakil  dari sebuah rumah anak yatim yang menunggu di tong derma masing-masing dicelah hiruk-pikuk jeritan sipenjaja dan orang ramai yang lalu-lalang bersesakkan sambil mengharapkan insan-insan yang bermurah hati menghulurkan derma ikhlas.

Si ayah menyeluk saku dan memberikan kepada anaknya seringgit untuk dimasukkan didalam tong derma.

Wakil rumah anak yatim kemudian memberikan sekeping poskad yang memaparkan latar belakang serta gambar rumah anak yatim tersebut sambil mengucapkan terima kasih.
 
Sebelum pulang kedua-dua beranak itu kemudian singgah disebuah gerai ditepi pintu masuk ketapak pasar malam tersebut dimana beberapa anak muda berambut perang sibuk melayan pembeli.


BABAK 2

" Kita tengok cerita Avatar pulak"  kata si ayah yang baru selesai  menonton filem Hurt Locker  sebaik selesai makan malam tadi

"Horeyyy" jerit si anak.

 " Berapa cerita awak beli tadi  kat pasar malam?" Tanya si isteri yang lebih gemar menonton cerita Indon.
"5" pantas berbaur gembira balas sisuami kerana kualiti gambar agak baik.

"1 vcd berapa hinggit?" soal isteri lagi  bak pegawai SPRM yang mengasak pencuri balak dihutan simpan.
"7rm sekepin... tu pun kurang singgit tadi, kalau tak nak beli 6"... balas si suami  yang sedikit terganggu dengan soalan itu kerana cerita sudah hendak bermula.

"Kurang seringgit? sebab apa? tanya si isteri lagi ingin tahu.

"SERINGGIT ayah sedekahkan kat tabung anak yatim, ayah beli vcd semua TIGA PULUH LIMA ringgit!" pantas si anak menjawab kerana dia menyangka ada unsur-unsur soalan matematik yang ditimbulkan oleh kedua-dua ibu bapanya.

...tamat....

.... Illustrasi berlagu.... (konon)


Illustrasi 'cikai'  ni dihasilkan pada tahun 1989. 

Lama tu. Nasib baik elok lagi, jadi aku bulih 'upload' bikin tambah
kesemakkan di blog ini. 

Disebalik terhasilnya illustrasi ni takde apa-apa kisah atau  tragedi yang melanda Asia mahupun dunia Arab, atau dirantau Balkan apatah lagi di Rantau Panjang dan di Rantau Abe.

Ia cuma sekadar mengisi masa yang terluang selepas habis deadline kerja. Diwaktu ini aku bertugas di akhbar Mingguan
Wanita yang beroperasi di Jalan Genting Kelang, Setapak.

Kena pulak tengah melayan petikkan gitar solo Zul adik sifu dalam lagu 
yang dipetik dari album Duit, kumpulan Kembara.

Memang menangkap. 

'Harapan Terakhir', lirik lagu yang menghiasi illustrasi aku kat atas tu.
Lagu dan senikata ciptaan sifu sendiri.

Lagu ni turut diselitkan dalam filem Kembara Seniman Jalanan iaitu
satu-satunya filem Melayu yang aku bayar untuk menontonnya.

..... det sol .....








Selasa, 9 Mac 2010

HADIAH MISTERI NURUL SOFIYA




NURUL SOFIYA NAMA DIBERI,
CAHAYA YANG JERNIH ITU MAKSUDNYA,
MENDAPAT AKHIRNYA HADIAH MISTERI,
KERANA BERJAYA SEMPURNAKAN PUASA...

MENDAPAT AKHIRNYA HADIAH MISTERI,
KERANA BERJAYA SEMPURNAKAN PUASA,
CUMA TERTINGGAL SATU HARI,
SEBAB SAHUR TIDAK TERJAGA...

CUMA TERTINGGAL SATU HARI,
SEBAB SAHUR TIDAK TERJAGA,
JAM LOCENG TIDAK BERBUNYI,
REMINDER HANDPHONE PUN SAMA JUGA...

JAM LOCENG TIDAK BERBUNYI,
REMINDER HANDPHONE PUN SAMA JUGA,
TIDAK PUASA HANYA SEHARI,
BARU BELAJAR TIDAK MENGAPA...

TIDAK PUASA HANYA SEHARI,
BARU BELAJAR TIDAK MENGAPA,
HADIAH MISTERI TETAP DIBERI,
WALAU HARMSTER SEPASANG CUMA...

HADIAH MISTERI TETAP DIBERI,
WALAU HARMSTER SEPASANG CUMA,
YANG PENTING INGATKAN ILLAHI,
WALAU DIMANA SAJA BERADA...
Di Pondok Nenek ...

YANG PENTING INGATKAN ILLAHI,
WALAU DIMANA SAJA BERADA,
SEMOGA HIDUP KITA DIBERKATI,
KELAK SENANG BILA DISANA...

SEMOGA HIDUP KITA DIBERKATI,
KELAK SENANG BILA DISANA,
JANGAN LUPA NASIHAT INI,
BERSAMA KITA HIDUP BAHAGIA...

JANGAN LUPA NASIHAT INI,
BERSAMA KITA HIDUP BAHAGIA,
HADIAH MISTERI TAHUN INI,
LAGI MENARIK LAGI ISTIMEWA.

MAJALAH KARTUN PERTAMA

 Nak bubuh byline rasa segan... cheh!



 



TIDAK keterlaluan dikatakan, sesiapa jua yang menceburi bidang kartun
samada secara sambilan atau menjadikannya satu kerjaya pasti menginginkan karyanya dibukukan.

Begitu juga aku.

Alhamdulillah hasrat hati tercapai setelah hampir setahun lebih mencari rezeki diIbu kota.

Mat Scrambler. Ya itulah tajuk yang aku pilih dan boss-boss ditempat aku bekerja menyetujuinya maka lahirlah naskhah kebangaan aku ini. (waktu tu le-la ni malu nak tengok)
Aku baru berusia 20 tahun lebih, bilamana karyaku ini dicetak dan diedarkan diseluruh negara pada tahun 1983.

Ramai kawan-kawan aku yang kini lebih berjaya dan dikenali sebagai kartunis popular berbanding aku masih lagi dibangku sekolah pada masa mamak memanjat kerusi sambil
menggantung berbagai majalah hiburan dan kartun termasuk Mat Scrambler di kedainya.

Antara mereka ialah kartunis berbakat Maro (Mamak Cybernya), Kazim (Usik-usik) Dee (Hallo Boss) Nuek (Din Berger) dan Alin. Kartunis Miki..mmh.. aku tak pasti pula, sebab dia lebih veteran dari aku dari segi usia... tapi rasanya, aku lebih dulu menari digelanggang kartun. Rakan yang lain seperti Acai, Armus dan Piza... aku tak pasti. Maaf. Nama-nama yang disebutkan disini adalah berlegar disekitar akhbar dan majalah kumpulan Utusan aje.

Ahhhhhhhhhhhh... tak kisahlah sapa dulu dan kemudian. Sapa rajin dialah berjaya.

Majalah Mat Scrambler ini dicetak hampir 15 ribu naskah. Ok le tu. Akupun baru nak menapak dibidang ini dan belum begitu dikenali dikalangan peminat-peminat kartun tanahair.

Jualannya tidaklah mencapai tahap 'box office', tapi naskah 'return' yang aku nampak
takla banyak sangat. Kira untuk test market boleh dikatakan berjaya.

Diwaktu ini kartunis yang tengah 'best seller' tidak termasuk Lat ialah Nan.
Koleksi Din Teksi karya karunis Nan tengah hangat dipasaran waktu ini.
Lat jangan ceritalah. Dia pada waktu itu pun dah menjadi legenda.

Majalah Gila-Gila juga pada waktu ini sedang melalui zaman kegemilangannya. 
Depa punya kartunis memang tengah glamour habis.
Tapi kartunis-kartunis seperti Ujang, Asan dan beberapa pelapis baru belum 
muncul lagi. Mungkin masih di alam persekolahan.
 
Dek kerana rasa rendah diri pada waktu itu, aku tak masukkan byline nama aku kat depan cover Mat Scrambler. Terasa amat kerdil sungguh jika nak dibandingkan dengan 'mereka-mereka' yang berada di 'Jalan Pantai Baru' dan di jalan-jalan lain pada masa itu.

Walhal majalah ini bukan langsung saingan mereka. Ianya dari pelukis tidak ternama dan masih teraba-raba mencari ruang untuk bertapak diarena perkatunan.

Tapi dalam dok merendah diri, aku masih diberi peluang untuk menghasilkan karya seterusnya. Aku masih ingin mengekalkan nama Mat Scrambler.
Dan selepas berhempas pulas berfikir tajuk 'Pahlawan Mat Scrambler' dipilih.

Terlupa aku untuk menerangkan dimana aku bekerja waktu ini. Ianya sebuah syarikat penerbitan yang terletak diTaman Keramat. Syarikat ini menerbitkan majalah sukan 'LIGA' iaitu berkisar kepada sukan bolasepak dalam dan luar negara.

Pada mulanya, aku bertugas sebagai kartunis sepenuh masa disini. Tetapi kemudiannya beralih arah kepada bidang rekabentuk grafik, tapi tang melukis kartun tetap juga melukis.

Berbalik kepada projek baru  majalah 'Pahlawan Mat Scrambler', ada kisah suka dan duka jberlaku sewaktu dalam proses pembikinannya.

Aku mengusulkan cadangan kepada big dan small boss yang aku ingin menyiapkan karyaku ini di kampung. Dengan kata lain, aku ingin memohon cuti tanpa gaji selama sebulan.

Tanpa disangka mereka meluluskannya dengan beberapa syarat yang diperlu dipenuhi.

Okay no poblem... dan aku pun pulang kekampung dengan bagasi yang besar dan tanggungjawab yang berat.

Melompat sakan aku kat kampung dapat berjumpa dengan mak bapak. Makan beres.
Hulala sana hulalu sini... satu kerjapun belum berjalan. Lagi dua minggu tarikh aku perlu pulang ke KL, baru terhegeh-hegeh, kelam-kabut nak memulakan kerja.

Pagi, petang, siang dan malam... hingga kehari terakhir dikampung, kerjaku belum boleh dikatakan selesai sepenuhnya. Satu pelanggaran perjanjian telahpun berlaku seperti yang telah pihak syarikat tetapkan padaku sebelum mereka memberi keizinan untuk bercuti selama sebulan.

Aku pulang ke Taman Keramat dengan kerja yang tak siap dan hasilnya Big boss amat kesal dan hangin satu badan dengan aku.
Akibatnya gaji aku ditahan separuh bayaran. Gaji aku pada waktu itu ialah RM315.00 dan bayangkanlah berapa den dapek. Padan muka aku.

Angin boss mula berpindah kepada aku dan dengan jiwa yang tertekan, muka yang mencuka aku terpaksa menyiapkan segala-galanya hingga selesai.

Bila sudah selesai diperingkat aku yang meliputi penyediaan muka depan, dialog yang bertaip dan beberapa proses teknikal maka ia disemak oleh pengarang majalah LIGA untuk memastikan kesalahan ejaan dan lain-lain tidak berlaku.
Kemudiannya 'anak kedua' aku dihantar untuk proses pemisah warna dan sekaligus dicetak.
Dari sinilah bermula kisah dukanya.

Waaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa (aku menangis dulu).

Aku menunggu sekian lama, tapi majalah tidak dicetak. Aku bertanya pihak dipejabat, begini kisahnya. Dan dipihak syarikat percetakkan begitu kisahnya.
Lama-lama cerita sebenarpun terbongkar.

Ini je yang ada. Isinya tersangkut di
printing Jalan Klang Lama. 
Sebulan lebih punya keringat nak 
menyiapkannya menjadi sia-sia.
Rupanya antara syarikat aku bekerja dan syarikat percetakkan terbabit
mempunyai masalah  mereka sendiri yang tak dapat aku nak jelaskan disini.
Aku pun malas nak ambik tau. Itu depa punya pasai.

Yang menjadi mangsa akhirnya karya aku.
Apa boleh buat. Nasib badan.
...................................

Menunggang scrambler pinjam disekitar 
Jalan Enggang Timur 7, Taman Keramat
memberi banyak ilham selain menyusutkan petrol

motor kawan.


Korang nampak bas kat belakang tu?
Bas ni pi Alog Stag. Kalau aku nak
balik kampung, aku naik dari sini kePudu Raya.
Balikpun terus direct ke sini. Best.









Isnin, 8 Mac 2010

PANAS... PANAS.... PANASSSSSSSSSS


Kusangka PANAS hingga kepetang, rupanya  PANAS hingga kemalam.

Ku buka tv PANASonic, cerita Pendekar Bujang Lapuk, Sudin penuh confident membaca tulisan Arab yang berbunyi ..."Walfadang fasirul, takadopokokkayuwil  PANAS hutan likuk". 

Diluar  PANAS terik atau kata orang kampung aku PANAS lit-lit. 

Ku baca akhbar Utusan Malaysia ada berita PANAS... 
orang-orang  sengal politik mabuk kuasa tidak habis bercakaran. 

Hatiku PANAS lagi melihat bayi yang dicampak dimerata-rata.. Ini gara-gara banyak melihat gambar PANAS di alam siber atau yang dijual terbuka dipasar malam.

Tiba-tiba hujan PANAS singgah sekejap, aku bingkas membancuh kopi o PANAS sambil mengunyah goreng pisang PANAS yang dibeli diwarung makcik Senah yang baru kebah dari demam PANAS sebaik pulang dari mandi di air PANAS Pedas.

Kata bijak-pandai, PANAS di dunia lari tidur dihotel 5 star,
tapi panas di Mahsyar mau lari dimana?

 PANASkanlah tempat sujudmu memohon hindarkan PANAS yang azab itu.

PANASkan sejadahmu dengan duduk dimajlis ilmu.
Bukan PANASkan sejadah dengan dengkuranmu. 

PANAS jangan tidur dalam kelambu, tidurlah diruang tamu.
Kalau kipas rumahmu tidak boleh mengusir PANAS itu, tidurlah dekat peti ais dua pintu.

Kata yang empunya kuasa, PANAS ini sementara cuma,
perubahan angin monsun dakwanya.

Bukan PANAS kerna murka Sang pencipta,
melihat tingkah laku PANAS hambanya yang mengejar
syurga dunia yang akan sirna.


PANAS memang PANAS, dimana-manapun membahang PANAS.
"Berendam di Sungai Congkak boleh menghilangkan panas."
kata Mbah Yuntawati, peniaga goreng pisang ditebing Sungai itu.


Di Selangor membara PANAS, di Perak cukup PANAS, di Penang amat PANAS... cuma
PANAS-PANAS suam diKedah.

Aku? Aku memang PANAS. PANAS pada pondok tol yang merimas. PANAS pada harga barang yang mengganas. PANAS pada stesen minyak yang memeras. PANAS pada peminjam yang culas. PANAS pada bank yang pemalas. PANAS pada politikus yang tak waras. PANAS pada line DSL yang...... (alamak putus lagiiii ) # call 100 for support.


Berambut panjang 
dimusim panas membahang ini
tidak  digalakkan oleh
kedai gunting rambut.
  





...irama KEMBARA...