Khamis, 11 Mac 2010

Pesta Lagu Malaysia ke 6 - RTM




KHABAR DARI SINI

Ibuku sayang
apakah khabarmu
doa dari anakmu
agar engkau
bahagia selalu
restumu kuharapkan
agar hidupku terus aman...

Oh ibu kiniku berjuang
ditengah arus yang kencang
oh ayah apa nak kukata
mereka tak pernah setia

Hilang jujur kata
sikap mulia bahasa
kini jadi buruan
harta dunia
dan kebendaan
sifat budi mulia
kini hilang terus dilupa...

Disini aku
bersama puisiku
menceritakan tentang
arus hidup metropolitan
nilai kemanusiaan
lenyap sudah ditelan intan...

Penyanyi: Julie Sudiro
Iringan: Kombo RTM


-----------------------------------------------------------------------------------

Nostalgia disebalik lagu ini


1986. Kira-kira 24 tahun yang lalu. (Peh! lamo bebeno) aku baru setahun lebih menyertai Amir Enterprise. Syarikat kepunyaan Allahyarham Pak Harun Hassan  diwaktu ini baru berpindah ke Jalan Genting Kelang, Setapak dari Damansara Utama.

Syarikat ini menceburi bidang penerbitan seratus peratus. Yakni dari beratus judul novel, buku masakan, agama, majalah hinggalah ke akhbar mingguan dan harian. Melalui anak syarikatnya juga, beberapa judul filem popular turut dihasilkan.

Aku ditempatkan di Majalah Kisah Cinta yang dipimpin oleh Kak Webah bersama segerombolan sidang redaksi. Off course aku yang paling junior.

Semasa di syarikat ini, minat aku dalam bidang penciptaan lagu semakin mendalam. Idea mencurah-curah, melimpah-limpah... tak kiralah idea gred B,C atau A-.

Walaupun kawan-kawan yang berada disekeliling berbeza minat, namun hobi yang satu ini tetap diteruskan samada karyaku di'bakulsampah'kan atau di'lori ikan'kan.

Okay... itu baru latar belakang ringkas.

Suatu hari ketika sedang ralit membuat layout majalah, tiba-tiba Don seorang pemandu syarikat yang kebetulan berada disitu memanggil.

"Man... telefon".

"Assalamualaikum. Encik Osman."

Kedengaran suara lelaki yang agak asing ditelefon.
Selepas salam berjawab, sipemanggil memperkenalkan dirinya.

"Saya Harun Hanafiah,  dari Unit Hiburan Radio. 
Encik ada masuk pertandingan Pesta Lagu Malaysia hari tu kan?"

"Ya" jawabku pendek dan dengan sedikit debaran dihati.

"Tahniah! lagu encik berjaya ke peringkat separuh akhir."

Ayat terakhir dari penerbit rancangan itu membuatkan aku hampir nak melompat. 
Tapi mengenangkan ramai abang dan kakak senior termasuk anak boss yang turut berada disitu, jadi kontrol excited sikit. 

Sebagai tanda syukur, aku yang kebetulan ada sedikit 'fulus', membasahkan tekak mereka dengan membelanja mereka minum. Mereka pun terpinga-pinga sebab musabab 'kenduri kecil' yang aku buat itu dan aku pun tak cerita. Baru semi-final. 
Kalau final baru bulih bikin 'hingaq' sikit.

Antara yang diberitahu oleh penerbit berkenaan sewaktu panggilan tadi ialah lagu aku tersenarai dalam 32 lagu yang layak keperingkat separuh akhir dari sejumlah hampir 483 lagu yang mereka terima.

Dan menurut  beliau lagi, dari 32 lagu ini hanya 10 yang terbaik akan keperingkat akhir.

Kesemua 32 lagu tersebut akan disiarkan diradio dalam empat rancangan iaitu lapan lagu setiap rancangan yang akan keudara selama empat minggu.

Menanti hari lagu aku yang dijadualkan disiarkan pada minggu ketiga terasa amat lama.
Bukan apa, cuma aku hendak tahu macam mana bunyinya bila sudah digubah, siapa yang akan menyanyikannya dan berbagai lagi yang bermain difikiran. Almaklumlah ini suatu yang baru dalam hidupku.

Aku bercadang untuk merekodkan setiap lagu yang tersiar di keempat-empat rancangan ini walaupun ada masalah untuk mencari kaset kosong. Hendak beli lagi masalah. Faktor fulus altak lulus. Gaji kocik. RM450 sebulan. Tolak 'gedeban' @ advance yang diambik tengah bulan, tinggal le cipott.

Akal mesti panjang. Aku cari balik kaset-kaset lama yang didalam simpanan. Tanya kengkawan wartawan hiburan yang ingin menderma kaset yang dah sezen dan akhir dapatlah jugak stok untuk rakaman nanti.

Kaset-kaset ini aku 'erase' isinya biar betul-betul kosong.

Dengan menggunakan kaset player yang entah sapa tuannya tu, akhirnya kesemua 
32 lagu-lagu tersebut dapat aku rakamkan walaupun tidak sepenuhnya yakni cuma separuh lagu sahaja.

Hingga kehari ini, selepas 24 tahun lagu-lagu dalam kaset itu masih berkeadaan baik.

Bangga jugak aku bila mendengar lagu sendiri keudara diradio. 
Senyum sorang-sorang juga dua tiga minggu.

Bila keputusan lagu-lagu yang layak keperingkat akhir diumumkan diakhir rancangan siaran minggu keempat, dua tiga hari jugak mood nak bekerja hilang. No rezeki, cuba lagi.

Final pertandingan ini aku menontonnya dikaca tv dikampung... bercuti daa. 

Pemenangnya Mathias Francisco Harry Gomez dari PJ. Lagu beliau berjudul 'Cinta hatiku' disampaikan oleh Liza Aziz. Memang bagus lagu itu.

Walaupun gagal keakhir, aku berbangga jugak sebab dapat sebaris dengan beberapa komposer baru dan lama yang turut menyertai pertandingan ini. Antaranya Dato' Mokhzani Ismail, Pengarah Muzik RTM sekarang, Ramlan Harun, Abbas Bakar dan ramai lagi. 

Aku amat berterima kasih pada abang angkatku, Encik Din Osman yang banyak membantu mengajar dan memberi nasihat secara ringkas mengenai penciptaan lagu.

Walaupun sering kesuntukkan masa, beliau tidak pernah lokek menjawab setiap kemusykilan dan sering membantu bila diperlukan.

Pengalaman beliau dalam bidang penyiaran dan muzik amat aku kagumi, namun tanggungjawab yang berbeza membuatkan aku tidak banyak dapat menimba ilmu dengan beliau.

.....det sol.....


Keratan Akhbar Utusan Malaysia
bertarikh 5 november, 1986
mengenai pertandingan tersebut.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

...angin barat gambar solo...