Selasa, 9 September 2014

MAS... Mufti Kelantan bersuara

Penumpang bukan cari arak, wanita seksi

Oleh ZAAIN ZIN
pengarang@utusan.com.my

KOTA BHARU 8 Sept. - Hidangan arak dan imej pramugari yang tidak menutup aurat ketika bertugas bukan faktor utama yang mampu menarik minat penumpang menggunakan perkhidmatan Malaysia Airlines (MAS).

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad (gambar) berkata, persepsi MAS akan lebih berdaya saing jika memiliki dua perkara itu perlu dikikis kerana penumpang lebih mementingkan aspek perkhidmatan terbaik terutama dari segi ke­selesaan dan jaminan keselamatan.

Justeru, kata beliau, dua langkah drastik iaitu tidak menghidangkan arak dan pramugari menutup aurat, seiring dengan hukum syarak tersebut bukan sahaja diyakini tidak menjejaskan MAS, malah menaikkan lagi imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dikagumi di seluruh dunia.

"Saya bagi contoh, pelancong asing datang ke Malaysia, mereka bukan hendak tengok bangunan pencakar langit, sebab itu semua sudah ada di negara masing-masing. Mereka mahu tengok kampung dan keindahan alam semula jadi negara.

"Begitu juga penumpang penerbangan antarabangsa, mereka naik pesawat bukan hendak cari arak atau lihat kakitangan yang tidak menutup aurat, sebaliknya mahu keselesaan dan supaya selamat tiba," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, MAS perlu mencontohi stesen-stesen televisyen yang membuat perubahan dengan membenarkan personaliti serta pembaca beritanya menutup aurat.

"Ada beberapa syarikat penerbangan lain seperti Brunei turut membenarkan pramugarinya berpakaian sopan dan menutup aurat selain tidak menghidangkan arak, tidak ada masalah pun," katanya.


Artikel Penuh: 

Klik disini: UTUSAN ONLINE
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140909/dn_13/Penumpang-bukan-cari-arak,-wanita-seksi#ixzz3CoEFkgEN 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Isnin, 8 September 2014

MAS... Pandangan Mufti Kedah

MAS wajar bawa imej Islam


Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my


ALOR SETAR 7 Sept. - Selari dengan status Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dikagumi dan dicontohi dunia, Malaysia Airlines (MAS) perlu segera berhenti menghidangkan arak serta membenarkan kakitangannya terutama pramugari untuk menutup aurat ketika bertugas.

Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad (gambar) berkata, perkara itu jika dilaksanakan diyakini tidak akan menjejaskan MAS selaku syarikat penerbangan ulung negara.

Sebaliknya kata beliau, langkah tersebut bakal memberi persepsi lebih baik kepada pelancong yang tentunya sudah sedia maklum mengenai nilai-nilai keagamaan, adat resam serta budaya masyarakat di negara ini.

"Apabila pelancong menggunakan perkhidmatan MAS, sudah terbayang di mindanya bahawa ini negara Islam. Biar imej kita itu jelas selaras dengan apa yang kita lakukan di dalam dan luar negara sehingga menjadi negara Islam yang dikagumi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut bahawa tragedi pesawat MAS, MH370 dan MH17 wajar dijadikan iktibar untuk syarikat tersebut melakukan transformasi dengan menghentikan hidangan arak dan membenarkan kakitangan wanita menutup aurat.

Kata Nooh, kelancaran operasi MAS tidak akan terjejas sekiranya kakitangan menutup aurat dan tidak menghidangkan arak, malah akan dipuji kerana mengamalkan sifat sopan.

Dua perkara itu sebelum ini pernah dibangkitkan Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam).

Mengulas lanjut, Sheikh Muhamad berkata, isu aurat tidak sepatutnya menjadi polemik memandangkan ia satu tuntutan agama yang wajib dilaksanakan sebagai seorang Islam.

"Orang yang tidak menutup aurat, kesalahannya bukan satu tetapi dua. Pertama, kerana tidak menutup aurat dan yang kedua menyebabkan orang lain berbuat dosa memandang auratnya," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Profesional Muda Islam, Dr. Nazil Nuhairi Ismail meminta penjelasan MAS sama ada wujud arahan yang tidak membenarkan kakitangannya terutama para pramugari daripada me-laksanakan tuntutan agama tersebut.

"Di media sosial, kita lihat ramai dalam kalangan pramugari yang bertudung ketika bersama keluarga atau di luar waktu tugasan, namun seakan terpaksa mengorbankan semua itu ketika bekerja.

"Apakah wujud arahan yang tidak membenarkan mereka berbuat demikian? Jika ada, perkara itu mesti segera diperbetulkan kerana MAS sepatutnya peka dan prihatin. Apatah lagi mereka membawa nama Malaysia yang dikenali sebagai negara Islam dihormati," katanya.



Artikel Penuh: 

Klik sini: UTUSAN ONLINE
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140908/dn_19/MAS-wajar-bawa-imej-Islam#ixzz3Ci2fcAG4 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

MAS... 'nasihat Datuk Nooh Gadut'

MAS terus diminta henti hidang arak, tutup aurat


SEGAMAT 6 Sept. - Nahas yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370 dan MH17 bukan sahaja harus dijadikan iktibar, malah perlu menjadi titik permulaan bagi syarikat penerbangan itu melakukan transformasi ke arah yang lebih baik termasuk tidak lagi menghidangkan arak dan kakitangannya menutup aurat.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut (gambar) berkata, kelancaran operasi MAS tidak akan terjejas sekiranya kakitangan menutup aurat dan tidak menghidangkan arak, malah akan dipuji kerana mengamalkan sifat sopan.

"Berkenaan MAS menyediakan minuman beralkohol dan pramugari berpakaian tidak menutup aurat sudah lama saya bangkitkan kerana sudah banyak syarikat penerbangan yang tidak lagi menghidangkan arak dalam kapal terbang.

"Dalam setiap apa yang kita kerjakan, kita mahukan keberkatan-Nya kerana hadis ada menyebut ibu segala maksiat dan dosa adalah arak dan kita kena akur," katanya selepas melawat keluarga salah seorang mangsa nahas MH17, Allahyarham Hasni Hardi Parlan di Taman Seri Alam 2, di sini baru-baru ini.

Nooh berkata, syarikat penerbangan lain yang kakitangannya menutup aurat dan tidak menghidangkan arak masih boleh meraih keuntungan dan menjadi pilihan pelanggan.

"Perkara tersebut bukan sekadar mencakupi soal hukum yang mengharamkan arak, tetapi harus juga dilihat dari sudut kesihatan yang turut diberi perhatian," kata beliau lagi.



MAS... semuga 'sukses semula' selepas ini.
Satu soalan dari rakyat marhaen.
Apa pasai 'Tentera Pengaman' kita tak naik MAS?


Artikel Penuh:

Klik sini: UTUSAN ONLINE
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140907/dn_16/MAS-terus-diminta-henti-hidang-arak,-tutup-aurat#ixzz3Ci2v8iXz 
© Utusan Melayu (M) Bhd