Isnin, 8 September 2014

MAS... Pandangan Mufti Kedah

MAS wajar bawa imej Islam


Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my


ALOR SETAR 7 Sept. - Selari dengan status Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dikagumi dan dicontohi dunia, Malaysia Airlines (MAS) perlu segera berhenti menghidangkan arak serta membenarkan kakitangannya terutama pramugari untuk menutup aurat ketika bertugas.

Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad (gambar) berkata, perkara itu jika dilaksanakan diyakini tidak akan menjejaskan MAS selaku syarikat penerbangan ulung negara.

Sebaliknya kata beliau, langkah tersebut bakal memberi persepsi lebih baik kepada pelancong yang tentunya sudah sedia maklum mengenai nilai-nilai keagamaan, adat resam serta budaya masyarakat di negara ini.

"Apabila pelancong menggunakan perkhidmatan MAS, sudah terbayang di mindanya bahawa ini negara Islam. Biar imej kita itu jelas selaras dengan apa yang kita lakukan di dalam dan luar negara sehingga menjadi negara Islam yang dikagumi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut bahawa tragedi pesawat MAS, MH370 dan MH17 wajar dijadikan iktibar untuk syarikat tersebut melakukan transformasi dengan menghentikan hidangan arak dan membenarkan kakitangan wanita menutup aurat.

Kata Nooh, kelancaran operasi MAS tidak akan terjejas sekiranya kakitangan menutup aurat dan tidak menghidangkan arak, malah akan dipuji kerana mengamalkan sifat sopan.

Dua perkara itu sebelum ini pernah dibangkitkan Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam).

Mengulas lanjut, Sheikh Muhamad berkata, isu aurat tidak sepatutnya menjadi polemik memandangkan ia satu tuntutan agama yang wajib dilaksanakan sebagai seorang Islam.

"Orang yang tidak menutup aurat, kesalahannya bukan satu tetapi dua. Pertama, kerana tidak menutup aurat dan yang kedua menyebabkan orang lain berbuat dosa memandang auratnya," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Profesional Muda Islam, Dr. Nazil Nuhairi Ismail meminta penjelasan MAS sama ada wujud arahan yang tidak membenarkan kakitangannya terutama para pramugari daripada me-laksanakan tuntutan agama tersebut.

"Di media sosial, kita lihat ramai dalam kalangan pramugari yang bertudung ketika bersama keluarga atau di luar waktu tugasan, namun seakan terpaksa mengorbankan semua itu ketika bekerja.

"Apakah wujud arahan yang tidak membenarkan mereka berbuat demikian? Jika ada, perkara itu mesti segera diperbetulkan kerana MAS sepatutnya peka dan prihatin. Apatah lagi mereka membawa nama Malaysia yang dikenali sebagai negara Islam dihormati," katanya.



Artikel Penuh: 

Klik sini: UTUSAN ONLINE
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140908/dn_19/MAS-wajar-bawa-imej-Islam#ixzz3Ci2fcAG4 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

...angin barat gambar solo...