Jumaat, 9 Januari 2015

Charlie Hebdo akhbar provokasi - Tun Mahathir


KHAIRULANUAR YAHAYA  |  08 Januari 2015 3:13 PM
  

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan akhbar mingguan Perancis, Charlie Hebdo yang diserang dengan senjata api sehingga menyebabkan 12 orang terbunuh sebagai akhbar pencetus provokasi.

Menurutnya, akhbar satira berkenaan tidak menghormati agama Islam 
dan Nabi Muhammad.

“Mereka suka membuat karikatur mengenai Nabi Muhammad. Ini provokasi. Walaupun orang Islam tidak harus membunuh tetapi sudah tentu ada kalangan orang Islam yang agak begitu marah dan mereka membuat tindakan sebegitu.

“Apa niat mereka mempermainkan Nabi Muhammad sedangkan mereka tahu ini menyakitkan hati orang Islam. 

Hanya kerana mereka rasa selamat dan kuat maka mereka boleh buat apa sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan program “One Soul One Quran” di Menara Kuala Lumpur hari ini.

Dr. Mahathir berkata, tindakan akhbar berkenaan yang mencetuskan provokasi tidak mendatangkan faedah kepada sesiapa.

“Saya tidak halalkan perbuatan membunuh ini. Bukan saya menyokong perbuatan membunuh. Tetapi kita harus ingat kalau kita sengaja provok orang dan reaksi mereka kita tidak boleh tentu. Sepatutnya tidaklah, tetapi ada orang yang begitu marah. Inilah yang berlaku.

“Menghina nabi dan sebagainya tidak harus dibuat. Mungkin pegangan mereka kepada agama sudah luntur tetapi kita dalam masyarakat manusia yang bertamadun kita harus menghormati kepercayaan orang lain,” tegasnya.

Dalam kejadian semalam, 12 orang terkorban selepas tiga lelaki yang dilengkapi senapang jenis Kalashnikovs dan pelancar peluru berpandu menyerang pejabat Charlie Hebdo.

Pada November 2011 pejabat akhbar berkenaan pernah dibom selepas menerbitkan karikatur Nabi Muhammad dengan menggunakan tajuk Charia Hebdo.

Sehingga kini seorang suspek, Hamyd Mourad, 18, yang didakwa terbabit dalam serangan ke atas akhbar mingguan Charlie Hebdo menyerah diri kepada polis di sini, malam tadi. 

- UTUSAN ONLINE

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Pendapat aku... seorang kartunis (suam-suam kuku kambing Gurun Kedah)

TIADA SIAPA PATUT MEMBUNUH...
TIADA SIAPA PATUT DIBUNUH...
TIADA SIAPA PATUT MENGHINA AGAMA LAIN...