Selasa, 10 Ogos 2010

SEHARI... SERIBU LANGKAH...

MUKADIMAH
'Sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit. Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. Selori demi selori, lama-lama pasir habis digali. Setongkang demi setongkang, lama-lama Malaysia penuh pendatang haram. Seliter demi seliter minyak naik, lama-lama orang naik minyak. Sehari demi sehari MC, lama-lama boss kasi 'api'@(fire).
Catatan kali ini dimulakan dengan pepatah-petitih lama dan baru. Bukan apa, cuma nak mengaitkan dengan tajuk entri kali ini.
Dan tulisan kali ini jugak adalah susulan dari artikel sebelumnya berkenaan 'payung kuning' dan 'mangga @ pedai ayam' diatas kereta.
--------------------------------------

Bermula 12 Julai lepas, tempat letak kereta dipejabat aku ditutup sepenuhnya.
Ditutup kerana memberi laluan kepada pembinaan bangunan baru.

Bangunan baru ini dijangka siap sepenuhnya pada 2013.


Wajah bangunan baru mengikut gambaran artis.


La ni baru 2010. Hmm... makan dua tiga taon jugak tu..
Penutupan 'parking' ini, merupakan satu beban tambahan walaupun bersifat sementara namun cukup mengganggu fikiran.
Fikiran aku le. Orang lain taktauuu.

Gangguan fikiran tidaklah sampai ketahap hendak terjun dari Menara KL, atau
melanggar polis trafik yang membuat road-block, atau menyelinap ke koc wanita dalam komuter... atau pun keperingkat mencuri pasir dan menggondolkan bukit di Cameron Higland. 

Tidak. Bukan gitu.

---------------------------------------------

Cuma... bermula dari rumah, kepala hotak mula mencongak-congak dan berharap
ado tompek kosong untuk aku tarik hand brake.

Jangan harap ada vacancy depan opis. Kena pulak yang shift petang macam aku.
Kalau masuk pagi... ok sikit la.

Kalau ada mungkin boleh diumpamakan kena loteri 3rd prize. Kemungkinannya, satu dalam ompek juto. ..

Ada yang berani dan mungkin terpaksa kut membuat double parking.

Nota yang tertulis nama dan no handphone diletakkan didepan dasboard setiap kereta
yang diparking double ini oleh pemilik masing-masing. Maknanya... aku block keta hang. Hang nak keluar sila telefon aku.

Letih.

--------------------------------------------

Risiko?
Risiko memang ada.

Lori simen atau dipanggil lori siput yang lalu lalang setiap hari menunggu masa untuk menyagat mana-mana kereta yang tidak bernasib baik.

Bukan lori siput je, lori treler, lori sampah... semua ada. Ini kawasan kilang beb.
Memang dah adapun kes lori menyagat kereta... setakat ni belum serius kut. Atau mengikut bahasa orang politik,'ini kes terpencil'.

Mudah-mudahan 'kes terpencil'. Kalau tak 'terkucil' nanti.

--------------------------------------------

Aku yang masuk petang terpaksa menghilir kehulu.

Pusat latihan pejabat yang terletak kira-kira 200 meter dari ibu pejabat menjadi pilihan. Itu je yang ada.

Disini, rasanya hampir 30 atau lebih ada kekosongan.
Didalam (berbumbung) boleh parking. Diluar pun ada. Tapi jika tidak bernasib baik,
full house jugak.

Tempat parking kat pusat latihan ini asalnya adalah unit majalah dan tempat percetakkan dulunya.

Merasa jugak aku bersesak-sesak disini dua tahun lebih.
Banyak kenangan manis kat sini tau.
Kini ianya sebuah gudang.  

Setakat ini nasib aku masih baik.
Kalau penuh mau aku balik parking kat Kajang.
Isi borang kemudian. Keh keh keh.

----------------------------------------------

Pada hari pertama parking disini, aku dah mula mengira-ngira masa yang diambil
untuk sampai kepejabat dan berapa banyak langkah yang diperlukan untuk sampai ketempat duduk aku yang bersebelahan dengan gerai Jai.

Cuma peluh yang meleleh dan debu serta asap yang dihidu agak sukar untuk dihitung.

Jika kita berjalan biasa, lenggang kangkung...relek sambil bernyanyi, masa yang diambil lebih kurang 5 atau 6 minit. Seminit lebih kut jika ada hanjing yang banyak berkeliaran disitu mengajak kita test power.


Seorang lelaki misteri turut menyaksikan
upacara pecah tanah dari jauh.
 

Manakala langkahan yang kita buat berdasarkan kiraan aku bermula dari pintu masuk
disini hingga pintu masuk disana ialah hampir 500 langkah.
Wow! 500 langkah sehala.
Bermakna pergi dan balik setiap hari aku mengatur 1000 langkah.
Darablah. Kalilah. Kiralah berapa langkah yang telah dibuat dalam seminggu, sebulan dan setahun.


Kalau setiap langkah itu kita berselawat atas nabi banyak pahalanya tu. Kena pulak dibulan Ramadan ni.

Ataupun bertasbih, bertahmid dan berzikir.

Besar faedahnya untuk diri sendiri dan boleh disedekahkan sedikit untuk syarikat. Mudah-mudahan mendapat keuntungan yang berlipat-lipat-lipat-lipat-lipat kali ganda.

Paling koman atau jahilpun, nyanyilah lagu nasyid. Bukan lagu Wali band.

Tapi kalau nak menyanyi lagu pop, lagu Hati Emas atau Perjuangan ataupun Apokalips ciptaan brader M.Nasir memang sesuai banget.

Senikata lagu itu memang 'masuk' dan 'sesuai'....

Berjalan ditanah gersang,
Mentari mencengkam dada,
Debu-debu dijalanan,
Menjadi teman setia..."
------------------------------------------(hati emas)

Satu demi satu,
Ku atur langkahku,
Meskipun perlahan tapi tegas...
------------------------------------------(perjuangan)

Ada masanya aku suka berteman,
Ada masanya aku suka bersendiri,
Ada masanya aku suka berjalan,
Ada masanya aku suka berehat..."
------------------------------------------(apokalips)


Gitulah panjang tak lebar kisah
'Sehari seribu langkah, lama-lama sampai Mekah'

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

...angin barat gambar solo...