Selasa, 12 Januari 2016

ERTI KEKAYAAN BAGI SYED MOKHTAR



(DIPETIK SEPENUHNYA DARI BLOG KU SEMAN)

Saya pernah membuat wawancara eksklusif dengan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary selama dua jam setengah mula pukul 11 malam di  Muzium Kesenian Islam pada 2007. 

Kesimpulan daripada  wawancara panjang itu ialah Syed Mokhtar mengamalkan konsep kekayaan  adalah satu proses untuk membantu golongan  yang memerlukan.

Beliau berpendapat,  kekayaan yang diperoleh dengan izin Allah mahu dikongsikan dengan pihak yang memerlukan. Misalnya beliau  menubuhkan Yayasan Al Bukhary yang mengeluar biasiswa dan menaja beribu pelajar miskin melanjutkan pelajaran di universiti tempatan dan luar negara.

Tidak cukup itu  yayasan ini juga membiayai  orang miskin mengerjakan haji pada setia tahun.  Syed Mokhtar berpendapat zakat yang dikeluarkan setiap tahun tidak memadai berbanding rezeki  yang Allah berikan kepadanya.  Oleh kerana itu  beliau menubuhkan Yayasan Al Bukhary untuk membantu golongan yang miskin.

Suatu hari jawatankuasa surau  Jalan Hang Tuah Kuala Lumpur menghantar surat permohonan untuk membaikpulih surau berkenaan. Apabila  Syed Mokhtar mendapat tahu permohonan itu,  beliau sedekahkan sebuah masjid iaitu Masjid Al Bukhary.

Bagaimanapun  Syed Mokhtar memilih tidak “mesra media”.   Sepanjang menjadi tokoh perniagaan dan antara sepuluh terkaya di negara ini,  Syed Mokhtar hanya memberi  dua kali peluang kepada media mewawancara beliau. Kedua-dua wawancara itu dibuat oleh Mingguan Malaysia.

Beliau tidak pernah memberikan sidang akhbar atau kenyataan akhbar.  Sebaliknya sidang akhbar atau kenyataan akhbar dikeluarkan oleh  CEO atau pengerusi  syarikat-syarikat miliknya.  Bagi Syed Mokhtar biar orang bercakap tentang dirinya, bukan beliau  mempopularkan  dirinya di media.

Kata-kata Syed Mokhtar yang masih saya ingat, “Apalah sangat hendak dibanggakan dengan kekayaan,  rumah besar macam singahsana pun pada satu-satu masa kita tidur satu bilik sahaja,  memandu satu kereta sahaja dan makan  hanya sampai kenyang sahaja.”  Sebab itu orang tidak tahu  apa jenis kereta,  rumah  dan cara hidup Syed Mokhtar seperti sesetengah orang kaya lain. 

Saya sangat setuju dengan Syed Mokhtar bahawa kekayaan  bukan untuk diperagakan  atau  disalurkan kepada kegiatan yang tidak ada kaitan  membantu golongan miskin.  Kaya lawannya miskin, maka  apabila dianugerahkan kekayaan,  itu adalah  hak golongan yang miskin. 

Saya berbangga ada orang Melayu kaya yang mempunyai pemikiran dan keinsafan seperti Syed Mokhtar. Tetapi saya bukan sahaja tidak berbangga malah rasa diperbodohkan  oleh orang kaya  yang memperagakan kekayaan yang semuanya untuk dirinya.

Posted by ku_seman at 12:31 PM 


Malangnya... den tak kayo-kayooo...

1 ulasan:

  1. masjid Al-Bukhari Jalan Maharajalela tu sudah lama bernama Al-Bukhari.. Masjid tu dibina tahun 18XX-an lagi. Syed Mokhtar menderma mungkin untuk kebetulan atas sifat pemurah beliau

    BalasPadam

...angin barat gambar solo...