Selasa, 26 Ogos 2014

MENUNGGU PAYUNG PETRONAS

SEKAKI PAYUNG PERCUMA
(Dipetik dari ruangan SELAK (25.8.2014) yang
disiarkan setiap Isnin@akhbar Utusan Malaysia.)
Payung yang mendatangkan
'dosa' di stesyen Petronas. Cehh.






KETIKA ini, kita memasuki minggu terakhir menjelang 31 Ogos 2014, menandakan genap 57 tahun negara mencapai kemerdekaan. Sudahkah anda sekurang-kurangnya mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di kenderaan, rumah atau di mana sahaja? 

Mungkin kibaran bendera itu tidak semeriah hebatnya bendera parti politik menjelang pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK). Jika pada PRU atau PRK, kita dapat melihat bendera parti politik berkibar megah sehingga di puncak bukit atau di pucuk pokok tetapi kibaran Jalur Gemilang mungkin tidak sehebat itu.

Walaupun tidak sehebat semasa pilihan raya, sekurang-kurangnya masih ada yang bersedia mengibarkan Jalur Gemilang. Ada juga yang memperkecilkan Jalur Gemilang ini dengan nama yang memalukan. Ada juga Jalur Gemilang yang dimamah usia, koyak rabak dan lusuh. Adakah tidak mampu untuk membeli?

Berapa banyak syarikat yang menyumbang bendera secara percuma? Dalam hal ini, saya tertarik dengan kempen pembelian petrol anjuran Petronas. Setiap petrol yang disi bernilai RM20 akan mendapat cop di dalam satu kad penyertaan. Kad yang lengkap dengan 10 cop (bermakna RM200) akan mendapat sekaki payung yang boleh ditukar di mana-mana Kedai Mesra.

Malangnya banyak rungutan yang didengar. Sejak awal lagi, saya sudah menduga perkara ini akan berlaku. Tempoh pengumpulan cop bermula pada 20 Julai hingga 15 September manakala penebusan sehingga 30 September 2014 atau stok masih ada. Apabila 'diikat' sehingga stok masih ada, maka pihak berkenaan boleh menghentikan tawaran itu pada bila-bila masa. 

Rungutan yang diterima, setiap kali mahu ditukar, petugas akan berkata, stok sudah habis, esok pagi ada; pagi tadi sampai tapi sekarang sudah habis; boleh tukar di mana-mana stesen dan macam-macam lagi. 

Ada juga yang memberitahu, seorang petugas melekatkan ayat ini di bajunya: Jangan tanya saya pasal payung, stress.Ada rakan memberitahu, beliau sudah lengkap 10 kad tetapi sekaki payung pun tidak dapat. Mungkinkah jumlah payung terhad disebabkan kos tinggi. Ada juga yang berkata, tawaran itu hanyalah gimik. 

Sepatutnya stok sentiasa ada, mengikut jumlah kad. Jika satu juta kad dikeluarkan, biarlah satu juta kaki payung tersedia. Biarlah setiap pemilik kad yang lengkap memperolehnya.

Sebenarnya, bukanlah pengguna kemaruk dengan payung tetapi apabila barang percuma di depan mata, ambil sajalah. Jika tidak ada tawaran itu pun, pengguna tetap mengisi petrol. Eloklah sebagai menghargai setiap pelanggan yang setia, Petronas menyediakan `hadiah' yang benar-benar mencukupi. 


Bagi yang ni je...
kompom orang tak 'hingin'.


Mungkin sediakan Jalur Gemilang yang kosnya lebih murah supaya setiap pelanggan memperolehnya. Seperkara lagi, cuba selak balik apakah ganjaran yang diberikan oleh syarikat yang menjual petrol jenama lain. Amat malang, khidmat mesra bertukar tidak mesra hanya kerana sekaki payung, lebih-lebih lagi pada hari hujan.


BACA: UTUSAN ONLINE
(Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

...angin barat gambar solo...